Global Variables

Sabtu, 10 Maret 2012

Butakah Mata Hati Kita..?


~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t..
Salam ukhuwah sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah s.w.t. Moga kalian semua berada dalam rahmat limpahan kasih sayang Allah s.w.t. Alhamdulillah, saya juga beransur sihat, sejak beberapa hari mengalami demam, batuk dan selesema pada masa yang sama. Alhamdulillah. :-)
Seawal pagi tadi, saya meluangkan sedikit masa untuk menziarahi beberapa laman berita dan blog..


Mata atau hati yang buta..?
“Maka Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? karena Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.” (Al-Hajj:46)
Membaca potongan berita di AFP, membuat saya berfikir dan muhasabah kembali. Cuba untuk mengaitkan kejadian yang menimpa dengan apa yang berlaku dalam negara baru-baru ini. Kadang-kadang, saya sendiri tidak mengerti..setelah apa yang berlaku, masih ada lagi yang cuba menidakkan kekuasaan Allah s.w.t. Ya, hakikatnya masih ada lagi yang cuba mengingkari hak-hak Allah yang Allah gariskan, tidak lain dan tidak bukan untuk kebaikan diri kita sendiri..

Angka Korban Meningkat

PADANG: Pesawat dan helikopter yang penuh dengan pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama di kepulauan pedalaman Indonesia semalam selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami setinggi tiga meter lewat Isnin lalu, meragut sekurang-kurangnya 311 nyawa.
Seramai 160 cedera manakala 410 lagi hilang.
Gambar pertama yang dirakam menerusi udara menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan tempat kediaman musnah akibat dipukul ombak besar itu.
Ia satu daripada dua bencana yang melanda Indonesia dalam tempoh 24 jam. Gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Merapi yang terletak kira-kira 1,300 kilometer ke timur Sumatera meletup petang kelmarin, mengeluarkan asap dan menyebabkan 30 orang terbunuh.
Kedua-dua kejadian itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api yang terdedah kepada gempa bumi dan kegiatan gunung berapi.
Sejak gempa melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, menyebabkan penduduk terpaksa berdikari untuk menyelamatkan diri.
Tanpa tenaga secukupnya untuk menggali kubur, mayat terbiar bergelimpangan di kawasan pantai dan jalan raya, kata ketua daerah di kepulauan itu, Edison Salelo Baja.
Pegawai bantuan bencana masih berusaha menjejaki lebih 12 kampung di kawasan paling teruk terjejas di Kepulauan Mentawai, destinasi popular untuk peluncur ombak.
Kawasan itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki bot selama 12 jam.
Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatan, Mujiharto berkata, pegawai bantuan membawa bersama-sama mereka beratus-ratus beg mayat.
Gempa dengan magnitud 7.7 itu yang melanda lewat Isnin lalu berlaku 20 kilometer di bawah dasar lautan. Ia diekori dengan sekurang-kurangnya 14 gegaran susulan dengan yang terkuat berukuran 6.2.
Ketua Pusat Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Harmensyah berkata, jumlah korban akibat tsunami itu meningkat kepada 311 orang dan lebih 400 penduduk hilang.
Pegawai berkata, beratus-ratus rumah kayu hanyut di Pulau Pagai dengan sebahagian besar kawasan pertanian dan jalan raya ditenggelami air.
Di Muntei Baru, sebuah kampung di Pulau Silabu, 80 peratus kediaman rosak teruk.
Kedua-dua pulau itu adalah sebahagian daripada kepulauan Mentawai, kira-kira 270 kilometer dari pantai barat Sumatera. – AFP

Sesungguhnya, kekuasaan Allah s.w.t.. tidak melihat siapa pun kita. Pemimpin, rakyat, negara yang kononnya Islam, baik yang tua mahupun yang muda.
“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” Maka terjadilah ia.” (Yassin:82)
Saya kesal. Bahawa di tengah-tengah keceleruan masyarakat, di tengah-tengah kesengsaraan dek bencana alam yang menimpa, masih ada lagi yang tidak sedar dan tidak mengamati dengan hati yang sebenar-benarnya.
Baru-baru ini, saya terbaca satu berita yang membuat saya benar-benar merasa marah dan geram. Belum lagi isu-isu hiburan yang melibatkan Adam Lambert (penyanyi yang terkenal dengan ‘gay’), isu IFF atau dikenali sebagai Islamic Fashion Festival yang totally tidak menampakkan ciri-ciri Islam langsung.. Bagaimana ini boleh terjadi di sebuah negara yang rakyatnya Islam, pemimpinnya Islam, dan tertulis juga dalam perlembagaan kerajaan bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam..? Adakah Islam kita hanya terletak pada nama..?Tidak perlu rasanya saya mengulas lanjut.. Anda sudah cukup matang untuk berfikir sedalam-dalamnya dan memikirkan antara yang hak dan yang batil..


ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina
Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.
Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika – Adam Lambert yang seorang ‘gay’.
Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.
Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Kriteria berkenaan adalah:
  • Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
  • Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
  • Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.
Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.
Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.
Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan
Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.
Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
“Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020,” petik laporan itu.
Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan
Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.
Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.
Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.


Saya berasa kecewa, bagaimana dengan anda..?
Bayangkan jika Rasulullah s.a.w. pulang ke dunia melihat umatnya di akhir zaman. Apa yang Rasulullah rasa..? Sedangkan baginda begitu sayang kepada kita.. Assalamualaika Ya Rasulullah, apa yang telah kami lakukan saat ini..?
Namun, percayalah masih ada segolongan manusia yang ingin menghapuskan semua ini, masih ada lagi yang ingin melihat Islam gah kembali..
Firman Allah s.w.t.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Al-Imran:104)
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Imran:110)
Hakikatnya, kita semua bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Seandainya tiada sedikit usaha pun dari kita, maka bagaimana harus kita jawab persoalan Allah di akhirat kelak..
Fikir-fikirkan wahai sahabat..

Salam kasih. :-)

0 komentar:

Posting Komentar